Kategori Tulisan

Tokoh-tokoh Ahli Fizik Islam

Saturday, May 15, 2010


AL-BIRUNI (973-1048 M)


Al-Biruni seorang pengkritik yang kuat menentang fizik aristoteles.

Beliau banyak mengkritik tentang ‘landasan asas’ fizik aristoteles seperti kehipomorfan, tempat tabii bagi objek dalam bahagian alam bumi.

Beliau juga menyangkal kewujudan vakum berdasarkan penalaran dan cerapan fenomenon tabii.

Beliau banyak membincang dan menganalisis dengan dalamnya akan konsep asas fizik seperti graviti, jirim dan ruang, dan gerakan bumi.

Beliau juga telah memberi sumbangan dalam bidang mekanik dan hidrostatik.

Dalam bidang mekanik beliau telah mengukur graviti spesifik logam dan bahan bukan logam dengan darjah kejituan yang tinggi.

Beliau membincang tentang tekanan dan keseimbangan bendalir dan juga penyesakan ke atas air dari mata air.

Sumbangan Ahli Fizik Islam - Fizik Teori

Fizik yang telah dikaji oleh orang Yunani terus dikembangkan oleh orang Islam pada abad yang ke-7 M hinggalah kepada abad ke-12 M.

Tidak dapat dinafikan bahawa orang Islam amat dipengaruhi oleh kitab suci mereka, iaitu al-Quran.

Sebahagian besar datipada al-Quran mengajak manusia untuk mencerap dan mengkaji alam ini.

Boleh dikatakan bahawa kajian fizik menurut al-Quran memanglah dituntut ke atas manusia.


Umpamanya kita boleh melihat ayat-ayat al-Quran berikut yang bermaksud:

1. “Muliakan nama Tuhanmu yang Paling Tinggi, yang menciptakan dan menyempurnakan. Yang menentukan hukum dan memberi bimbingan.” (Al-Quran, Surah al-A’la : 13)


2. “Tidakkah kau lihat bahawa Allah menundukkan bagimu segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi.” (Al-Quran Surah Luqman : 20)




Jelas dari ayat –ayat tersebut di atas bahawa alam yang dicipta Allah A.W.T. ini tertakluk kepada hukum-hukumnya dan benda-benda yang di langit dan di bumi itu untuk kegunaan manusia.

Ayat-ayat al-Quran yang telah dipetik di atas serts banyak lagi yang lain, telah mendorong ramai kaum Muslimin mengkaji lebih mendalam tentang alam kejasmanian mulai abad ke-7.

Sebelum ini, kajian ini banyak dibuat oleh orang China dan India.

Hasil-hasil kajian mereka telah diambil oleh ahli sains Islam sebagai titik permulaan untuk memulakan kajian mereka mengenai alam kejasmanian.

Hasil-hasil kajian mereka diterima oleh ahli sains Islam kerana Islam tidak menghalang penganut memperolehi ilmu dari orang bukan Islam, lagipun kajian-kajian orang bukan Islam itu tidak bertentangan dengan ajaran-ajaran agama Islam.


Dengan adanya minat, kegigihan serta kesungguhan, para ahli sains Islam telah berjaya meningkatkan dan memajukan sistem sains sehinggalah pusat-pusat pengajian Islam menjadi tumpuan golongan cerdik pandai pada masa itu terutamanya dari benua Eropah.

Keadaan ini berterusan sehingga abad ke-13 M, di mana kedudukan orang Islam dalam dunia sains mencapai zaman kegembilangannya.


Perkembangan fizik teori semasa tamadun Islam telah dilakukan oleh beberapa golongan.

Golongan yang terkenal terdiri daripada ahli-ahli falsafah peripatetik yang digelar sebagai Masya’iyyin, ahli teologi yang digelar sebagai Mutakallimum, ahli gnosis yang digelar Urafa kumpulan Mulla Sadra.

Mereka ini memajukan fizik teori yang bukan semata-mata terbabit dengan kajian fizik sahaja, malahan ia ikut serta dalam bidang-bidang lain seperti falsafah dan teologi.


Di kalangan para falsafah peripatetic seperti al-Farabi, Ibn Sina, Khawajah Nasiruddin, Ibn Bajjah dan Ibn Rusyid banyak merujuk kepada pemikiran falsafah Yunani.

Mereka menganggap alam ini sebagai memenuhi prinsip perubahan dan fizik merupakan sains berkenaan dengan perkara yang berubah.

Sebagai contoh, al-Farabi(872-950 M), seorang ahli falsafah Turki, telah mengkaji tentang bunyi dalam muzik dalam sebutan gelombang udara.

Ibn Sina(980-1037 M) pula mengkaji perkara tentang halaju bunyi dan cahaya.

Beliau berpendapat bahawa kesan cahaya bersifat serta-merta, sementara bunyi ada suatu halaju yang menyebabkan bunyi boleh didengar beberapa ketika selepas kejadian bunyi berlaku.

Al-Haitham(965-1039 M) telah menyangkal pendapat ini dan telah membuktikan secara eksperimen bahawa cahaya juga ada halaju yang terhingga.


Di samping ini, ahli falsafah peripatetic juga menyatakan bahawa setiap jasad terdiri daripada bentuk dan jirim yang bersifat selanjar.

Bagi mereka, ruang ini dan detikan masa juga adalah selanjar.

Suatu titik di dalam ruang atau satu detikan masa tidak lebih daripada aspek kenyataan selanjar yang diniskalakan oleh pemikiran kita sebagai sesuatu yang tidak ada kewujudan objektif.


Ahli falsafah ini juga menegakkan doktrin kebersebaban dan menganggap bahawa dalam alam ini semua kejadian berlaku disebabkan oleh set-set sebab dan apabila ia berlaku akan semestinya, mengikut keperluannya, menghasilkan kejadian yang dipertimbangkan itu.


Mereka menganggap ini tidak bercanggahan dengan kehendak Allah kerana setiap kejadian akhirnya dapat dikaitkan dengan ‘Sebab Perdana’ itu seperti yang terkandung dalam ayat yang bermaksud:


1. “Allah menciptakannya segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu .” (Al-Quran , Surah al-Zumar : 62)


2. “Apakah kamu tiada mengetahui bahawa kepada Allah sujud apa sahaja yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan dan bintang, gunung, pohon-pohon, binatang-binatang yang melata dan sebahagian besar daripada manusia.” (Al-Quran, Surah al-Haj :18)




Oleh yang demikian, pada pendapat ahli falsafah peripatetic, alam ini bergantung kepada Allah untuk kewujudan, yakni alam ini tidak boleh berdiri dengan sendirinya.

Sungguhpun demikian, alam ini pada mata kasar kelihatan seolah-olah ada kenyataan relatif tersendiri yang boleh diasingkan daripada kehendak Allah.

Ayat-ayat yang disebut di atas membawa maksud bahawa alam dan segala benda yang berada di dalamnya mematuhi peraturan-peraturan yang Allah telah tentukan.

Peraturan-peraturan ini dikenali sebagai hukum-hukum dalam bidang fizik.

Hukum-hukum ini membolehkan manusia mengetahui alam yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Pengetahuan inilah yang membolehkan manusia mengetahui, memahami tingkah laku makhluk yang ada di dalam alam ini, misalannya salah satu hukum asas fizik yang dinamai hukum graviti semesta.


Hasil daripada mematuhi hukum-hukum ini, segala benda ada sifat-sifat dan telatah tersendiri yang membolehkan manusia cerapi.

Sebagai contoh, apabila suatu bola diluncurkan maka diperhatikan bahawa bola itu akan menuju ke permukaan bumi.

Mata yang memandang melihat bola itu bersendirian, tetapi hakikatnya dalam keadaan bersendirian di udara bola itu berada di bawah suatu tarikan graviti.

Kerana bola itu tidak dapat lari daripada mematuhi hukum graviti, maka bola itu tidak boleh tidak akan jatuh ke bumi.


Ahli teologi dari kumpulan Asy’ari, telah menggunakan perwakilan keatoman untuk menerangkan alam tabii ini. Konsep atom ini di samping dari pengaruh Yunani, ia juga diperolehi daripada ayat al-Quran yang bermaksud:


“Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah(atom) di bumi ataupun di langit Tidak pula yang lebih kecil dan tidak pula yang lebih besar dari itu melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Luh Mahfudz).” (Al-Quran, Surah Yunus : 61)


Mengikut mereka, ketidakselanjaran antara benda lebih nyata daripada keselanjarannya.

Yang demikian alam ini dilihat sebagai mandala yang terdiri daripada entity yang terasing dan konkrit dan tidak ada hubungan mendatar antaranya.

Mereka mengatomkan jirim, ruang dan masa dan menolak konsep kebersebaban yang pada lahirnya menjadikan rantaian di antara satu dengan yang lain bagi perkara ini.


Mengikut teori fizik moden sekarang, keselanjaran atau kekuantuman tidak ada percanggahan.

Dalam keadaan manakah keselanjaran atau kekuantuman boleh digunakan bergantung pada keadaan ketika cerapan dibuat.

Ahli sufi atau gnosis mempunyai pandangan bahawa alam tabii ini bukan hanya sebagai pentas tindak-tanduk manusia seperti yang dianggap oleh para teologi; dan bukan satu aspek kenyataan yang mesti dipadankan dengan sistem falsafah am seperti yang dikehendaki oleh para ahli falsafah, tetapi sebaliknya berupa kenyataan yang mengandungi symbol dan memahami symbol-simbol ini menandakan satu peningkatan dalam perjalanan seseorang menuju kepada Tuhan.

Pendapat ini boleh dikesan sumbernya daripada fahaman ayat al-Quran yang bermaksud:


“Antara langit dan bumi sungguh(terdapat) tanda-tanda(keesaan dan kebesaran) bagi kaum yang memikirkannya.” (Al-Quran, Surah al-Baqarah : 164)


Hanya setelah simbol-simbol ini difahami dan diterapkan ke dalam rohani barulah boleh ia mengetahui rahsia alam yang sebenarnya .

Oleh yang demikian, bagi ahli sufi fenomenon tabii akan dijelmakan olehnya daripada fakta kepada symbol yang selepas ketika itulah alam ini menjadi lutsinar secara metafizik.


Di sini kelihatan bagaimana ahli sufi cuba memberi makna terhadap benda-benda yang dicipta oleh Allah. Benda-benda ciptaan Allah bukan hanya untuk tontonan manusia tetapi merupakan tanda-tanda manusia tentang kewujudan Allah dan segala sifat keistimewaannya sehingga memahami tanda-tanda ini boleh menyebabkan manusia tunduk dan patuh kepada hukum-hukum Allah seterusnya menjadi hamba Allah yang sebenarnya.


Ahli sufi dari kumpulan Ibn Arabi(1140-1218M)menganggap kosmos ini sebagai teofani tentang hak Allah yang diperbaharui setiap masa.

Cipta-Nya dimusnahkan dan dicipta semula setiap masa seperti yang dikatakan oleh ahli teologi.

Kumpulan Ibn Arabi juga menegaskan bahawa kenyataan pada akhirnya tidak bersifat gandaan, tetapi pada hakikatnya bersatu yang bersifat bukan secara kebendaan.

Doktrin ini berasaskan kepada ketauhidan Allah S.W.T. yang menunjukkan bahawa semua mandala kenyataan saling berkaitan antara satu dengan yang lain.


Teori ini telah digunakan oleh ahli fizik pada abad 20-an ini Malah Einstein telah menunjukkan bagaimana jisim m dapat dihubungkan dengan tenaga T(suatu kuantiti yang tidak bersifat kebendaan) melelui persamaan T=mc, dengan c mewakili laju cahaya.

Contoh lain untuk menunjukkan perkaitan yang wujud antara mandala elektrik dengan haba, misalnya melalui prinsip keabadian tenaga elektrik dan haba.

Tenaga elektrik yang dibekalkan oleh penjana elektrik apabila tiba pada plat saterika akan berubah menjadi haba menyebabkan saterika itu panas.


Bagi kumpulan Mulla Sudra pula, mereka mengamirkan pandangan ahli gnosis, Isyraqiyyin(iluminasis), ahli teologi dan ahli falsafah unutk, menghasilkan suatu perspektif tabii.

Mereka berpendapat setiap benda berada dalam proses meningkat ke taraf bentuk tabii yang disebut sebagai “reality arketip” atau kenyataan naskhahan.

Oleh yang demikian, benda ini mengalami perubahan yang berkaitan dengan ruang dan bukannya berkaitan dengan masa.

Dapat diperhatikan bahawa pemikiran Mulla Sudra terhadap alam bersifat dinamik walaupun di samping itu mereka mengabadikan aspek bentuk tabii benda-benda, hubungan dan kesatuan antaranya.


Kumpulan Muslim lain telah menyumbangkan idea-idea mereka sendiri daripada ahli falsafah anti-peripatetik dan para ahli sains seperti Muhammad Ibn Zakaria, al-Razi, al-Biruni dan Abu-Barakah al-Baghdadi.

Mereka berpendirian masing-masing. Mereka mengkritik falsafah ahli peripatetic.

Umpamanya, al-Razi membina kosmologinya yang tersendiri berasaskan konsep yang dinamainya lima qudama’(al-qudama’al-khamsah) yang mengandungi masa dan ruang.

Konsep ini diperolehnya daripada Manichaean dan juga Timaeus yang ditulis oleh Aflatun.

Ia juga membina sejenis keatoman yang khusus berasaskan idea dari India.

Ahli-ahli falsafah ini menjadi pengasas pandangan alam yang menggunakan kaedah perasionalan tanpa cerapan langsung.

Fizik Sebelum Tamadun Islam

Pada abad ke-4 M, pemikiran fizik dipelopori oleh teori fizik Aflatun (Plato) dan Aristoteles.

Dalam kajian fizik yang mereka lakukan terdapat penggunaan Matematik yang menunjukkan bahawa mereka menekankan kepentingan matematik dan peranan utamanya dalam menjelajah alam semesta ini.


Teori mereka dipengaruhi oleh pemikiran mazhab(qaul atau pengikut ) Pithagoras yang berpendapat seperti berikut:

1. Alam ini bertertib.

2. Bahagian-bahagian alam ini saling berkaitan antara satu dengan yang lain yang juga berkaitan dengan keseluruhannya.


3. Bahagian-bahagian alam ada perbezaan struktur seperti pengutuban dan pasangan yang berlawanan.




Pendapat-pendapat ini kemudiannya diterima oleh orang Islam kerana mereka berpendapat pandangan ini disokong oleh al-Quran menerusi ayat-ayat yang terjemahannya seperti berikut:

1. “Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang . Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.” (Al-Quran, Surah Yasin : 40)


2. “Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu kemudian , Kami pisahkan antara keduanya.” (Al-Quran, Surah al-Anbiya’ : 30)


3. “Maha suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui .” (Al-Quran, Surah Yasin : 36)




Di samping itu satu perkara lain yang menarik perhatian mazhab Pithagoras ialah sifat dinamik yang ada pada makhluk alam kejasmanian ini.

Sifat dinamik ini terhasil daripada tindakan data keatasnya dan pergerakan yang ada padanya.

Aflatun cuba memberi penerangan rasional tentang alam semesta melalui bukunya Timaeus.

Aristoteles pula menganggap bahawa langit terdiri daripada siri sfera sepusat tersusun mengelilingi bumi sebagai pusatnya.

Kesemuanya ada lapan sfera cakerawala dan empat cakera bumi termasuklah bumi itu sendiri.

Sfera yang mengelilingi sistem ini dianggap oleh Aristoteles sebagai “Keharmonian Sakti” yang telah menyebabkan putaran keseluruhan sistem cakerawala, iaitu planet-planet dan bintang hidup.

Putaran inilah yang menyebabkan hidup mati di alam tumbuhan dan haiwan dan digelarnya “Peraturan Sakti” itu.

Pendekatan demikian telah mencetuskan pemikiran dwikotomi di antara langit dan bumi.

Pendekatan demikian merupakan asas bagi fizik Aristoteles yang pada dasarnya menjadi fizik tentang gerakan.




Fizik Aristoteles bertujuan memberi penjelasan tentang fenomenon-fenomenon alam bumi dan fizik cakerawala. Asas pemikirannya seperti berikut:


1. Semua objek di dalam ini ada zat bentuk dan bahan(jirim). Menurut Aristoteles, jirim bersifat selanjar .


2. Semua benda berubah daripada keadaan keupayaan(potensi) kepada keadaan kewujudan sebenar(aktualiti) atau semua perubahan digambarkan sebagai aliran daripada keupayaan kepada keberkesanan .


3. Gerakan terhasil daripada perubahan .


4. Benda-benda yang wujud terdiri daripada empat unsur: tanah, air, api, dan udara. Sifat-sifat benda ini bergantung kepada saiz bahagian unsur yang terkandung di dalam benda itu .


5. Sesuatu jasad yang gerakannya dipaksa akan terus bergerak selama jasad itu bersentuh dengan agen yang menyebabkan gerakan itu(teori ini berlawanan dengan prinsip moden inersia) atau tegasannya, gerakan paksaan tidak berlaku tanpa penyertaan satu tindakan daya. Idea ini merupakan titik permulaan bagi konsep impetus dalam gerakan.




Penerangan tentang alam ini terus berkembang dengan pemikiran oleh Epikurus(Epicurus) pada Zaman Helenis (Zaman Yunani).

Teori beliau menyatakan bahawa zarah(atom) mempunyai saiz dan bentuk yang terhingga.


Berlawanan dengan teori fizik Epikurusan ialah teori keselanjaran Stoik(Stoic) yang berasaskan hasil kerja Zeno, Krisipus (Chrysippus) dan Poseidonius.

Mereka menganggapkan alam kejasmanian ini sebagai kontinum dinamik yang koheren oleh kerana wujudnya suatu benda, yang dinamainya “pneuma” yang menyerapi alam semesta dan semua jirim yang terkandung di dalamnya.


Zaman kegemilangan sains Yunani dikaitkan dengan nama-nama seperti Euklid, Arkhimedes, Eratosthenes,
Apolonius Perga dan Hiparus.

Melalui hasil karya mereka, sains purba ini memuncak. Arkhimedes dalam bukunya The Sand Reckoner telah membina satu cara untuk mengungkapkan nombor yang sangat besar.

Kaedah ini digunakannya untuk mengira bilangan bijian pasir di dalam sfera dan jejari yang memberi jarak antara Bumi dengan Matahari.

Arkhimedes juga memperkenalkan penggunaan pertimbangan mekanik untuk memperolehi usulan(teorem) geometri.


Kerja-kerja Batlamus(Ptolemy) menerusi karyanya The Mathematical Syntaxis dan Almagest telah ditulis dalam pertengahan abad ke-2 M.

Kerja ini berkaitan dengan asas teori dan asas eksperimen hipotesis geometri terhadap masalah matematik yang berkaitan dengan gerakan teratur bulan, matahari dan lima buah planet yang diketahui pada masa itu.

Batlamus, seorang ahli astronomi yang beramal bersama Applolonius Perga, dan Hiparkhus semuanya berpegang kepada aksiom bahawa gerakan bintang dapat dijelaskan sebagai gabungan gerakan bulat yang seragam.


Teori Batlamus menimbulkan masalah untuk dipadankan dengan hasil eksperimen.

Warisan pemikiran sains dari zaman purba dan Helenisme terdapat dalam sastera falsafah pada masa-masa kemudiannya seperti melalui penulisan “qaul neoplato” yang seorang daripadanya ahli falsafah Kristian bernama Johannes Philoponus. Beliau mengajar pada abad ke-16 M di Iskandariah dan merupakan pengkritik Barat terakhir Aristoteles.

Meiosis

Thursday, May 13, 2010

Aurat Daripada Perspektif Fizik

Dalam satu perbincangan, seorang siswi menceritakan masalah yang dihadapi berhubung dengan cara pemakaian.

Masalah bermula apabila berhadapan dengan persepsi keluarga dan rakan-rakan setelah berubah daripada wanita yang berpakaian “liberal” kepada wanita yang menutup aurat sepenuhnya seperti yang disarankan oleh Islam.

Pandangan serong terhadap pemakaian tudung labuh dan jubah menyebabkan siswi tersebut berasa tersisih bukan sahaja terhadap pandangan masyarakat umum, tetapi pandangan siswi-siswi yang bergiat dalam program berunsurkan dakwah.

Penerimaan terhadap perubahan berlaku agak sukar akibat sikap double-standard dan kronisme yang diamalkan.

Disebabkan mereka telah mendapat tarbiyah sekian lama dan menganggap diri adalah terbaik, agak payah untuk menerima orang yang baru mengenal erti tarbiyah yang sebenar.

Apatah lagi berhadapan dengan ibu yang tidak memahami sehinggakan si ibu menyuruh siswi tersebut kembali kepada pakaian lama.




PENYELESAIAN


Bercakap tentang perubahan, ia bukanlah satu perkara yang mudah semudah mengalihkan sebatang pen daripada satu meja ke meja yang lain.

Apatah lagi berubah daripada segi pemakaian yang melibatkan persepsi masyarakat sekeliling terhadap personaliti baru yang ingin dibentuk.

Adalah penting adanya pemahaman terhadap matlamat perubahan dan pengorbanan yang tinggi agar terus istiqamah dengan perubahan.


Apa yang dilakukan oleh siswi tersebut adalah hijrah kepada kebaikan dan memerlukan ketahanan mental dan mujahadah yang tinggi.

Dalam satu perubahan, sokongan daripada segi spiritual, emosi dan mental diperlukan bukan sahaja dengan berharap kepada Tuhan, tetapi juga dari masyarakat sekeliling khususnya mereka yang faham tentang Islam.

Meskipun siswi tersebut baru mengenal erti tarbiyah dan mula bergiat dalam program berunsurkan dakwah, rakan-rakan dalam organisasi dakwah haruslah faham dan tidak memandang diri sebagai individu yang bertaraf tinggi sehingga tidak layak berdamping dengan mereka yang baru menerima hidayah.



MUSLIMAT


Di sini, pentingnya pemahaman tentang konsep inverse response (respon songsang ~ rujuk Pemikiran Sistemik) dalam kehidupan seharian.

Setiap sesuatu yang bersifat drastik memerlukan daya yang tinggi untuk diterima dan konsep bersabar terhadap time delay (masa lengah yang diperlukan sebelum satu sistem berfungsi) diperlukan.

Sesuatu perubahan memerlukan visi yang jelas berdasarkan ilmu wahyu agar kekuatan diperoleh walaupun keadaan sekitar sukar menerima.

Bagaikan susu yang sebelumnya bercampur dengan najis, kuman, urea dan darah di dalam sistem badan seekor lembu akhirnya keluar sebagai susu yang suci yang mendatangkan kebaikan kepada peminumnya.

Dapat disimpulkan bahawa bagaimana sukarnya susu itu keluar daripada badan seekor lembu melalui proses perahan untuk bebas daripada unsur-unsur negatif, begitulah sukarnya sesuatu perubahan untuk dilaksanakan.


Persekitaran memerlukan masa untuk menerima sesuatu kelainan.

Adalah penting pemahaman tentang aurat kerana ia melibatkan penjagaan penglihatan yang berkaitan secara langsung dengan hati dan fikiran yang dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan.

Aurat yang dimaksudkan bukan sahaja terhadap kaum wanita, tetapi juga kepada kaum lelaki di mana sesetengahnya yang kurang sensitif menganggap aurat lelaki tidak berapa penting sehingga memakai seluar yang menampakkan lutut ketika bersukan.

Bagi seorang wanita, aurat adalah perkara yang sangat besar dan skop aurat adalah lebih luas pada tubuh mereka berbanding lelaki.

Manakala dalam institusi kekeluargaan pula, ibu bapa memainkan peranan penting terhadap pentarbiyahan setiap anak.

Bahkan, mereka juga perlu ditarbiyah dan diberi peringatan agar tidak alpa akan arus dunia semasa yang membawa kepada kebatilan.



HABA PENDAM TENTU DAN KONSEP AURAT


Dalam Fizik, konsep ketahanan mental, emosi dan spiritual ditekankan dalam bab haba pendam tentu dan berhubungkait dengan penjagaan aurat.

Jika dikaji tentang formula yang digunakan:


J = mc x tetha


J ialah haba pendam tentu: Kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa.


m ialah jisim objek yang menerima perubahan suhu.


c ialah keupayaan haba tentu: Keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa.


tetha ialah perubahan suhu.



EKSPERIMEN 1: HABA PENDAM TENTU (FIZIK TINGKATAN 4 - BAB 2.3) 



ABSTRAK/PENGENALAN 


Dalam kajian ini, “eksperimen” dilakukan ke atas 3 jenis wanita:


wanita A- wanita bertudung labuh, berjubah dan menjaga lengan daripada terdedah


wanita B-wanita memakai pakaian biasa tetapi masih menutup aurat


wanita C- wanita yang lebih selesa memaparkan rambut yang lurus setelah melalui teknik rebonding, menunjukkan keputihan dan kehalusan kulit lengan, mendedahkan kerampingan bentuk badan dan berhias laksana model-model muka hadapan majalah hiburan.



TUJUAN


Mengkaji tahap ketahanan spiritual, mental dan emosi wanita terhadap tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaian.



HIPOTESIS


Semakin baik cara pemakaian yang diamalkan mengikut tatacara yang disyorkan dalam Islam, semakin tinggi tahap ketahanan mental, emosi dan spiritual atas tekanan yang diberi. Begitu juga sebaliknya.



INFERENS


Wanita A mempunyai tahap ketahanan yang tinggi, wanita B mempunyai tahap ketahanan yang sederhana dan wanita C mempunyai tahap ketahanan yang lemah.



PEMBOLEHUBAH MANIPULASI


c atau keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa mempunyai hubungan dengan ketahanan seseorang terhadap tekanan yang dikenakan.

Bercakap tentang konsep aurat, ia mempunyai kaitan dengan suhu.

Ramai yang membuka aurat atas alasan panas dan lebih suka bebas daripada suatu kongkongan.

Seorang pensyarah wanita di UIA dari New Zealand (bukan Islam) mempersoalkan istilah baju kurung.

Adakah istilah baju kurung tercipta kerana sifatnya “mengurung” wanita di Malaysia?

Sehinggakan ramai wanita sekitar KL dan Selangor lebih suka memakai jeans dan t-shirt?



PEMBOLEHUBAH MALAR 


m atau jisim objek yang menerima perubahan suhu.

Anggap jisim, bentuk badan, bangsa, agama, dan ciri-ciri fizikal ketiga-tiga jenis wanita adalah sama.


tetha atau perubahan suhu.

Ia adalah tekanan yang diberi secara automatik oleh Pencipta alam di mana wanita berhadapan dengan perubahan biologi seperti haid (datang bulan), nifas (keadaan yang berlaku semasa bersalin), menopause (berlaku pengurangan hormon estrogen) dan tekanan persekitaran (kerja, pelajaran dan lain-lain).



PEMBOLEHUBAH BERGERAK/BALAS 


J atau kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa.

Ia berkaitan dengan setinggi mana tahap ketahanan spiritual, emosi dan mental ketiga-tiga jenis wanita terhadap daya tekanan yang diberi.



KAEDAH 


1) Melalui pemerhatian kritikal terhadap perubahan personaliti ketiga-tiga jenis wanita dalam suatu jangka masa.


2) Bertanya secara berhikmah tentang perspektif ketiga-tiga wanita terhadap cara pemakaian.


3) Eksperimen diulang keatas wanita-wanita lain yang mempunyai ciri yang sama.


4) Eksperimen juga dilakukan keatas 2 jenis lelaki:



Lelaki A- Lelaki yang menutup aurat dengan baik


Lelaki B- Lelaki yang suka mendedahkan pusat sewaktu berlengging dan memaparkan lutut serta paha sewaktu bersukan atau berjalan-jalan.



PEMERHATIAN


1) Wanita A kelihatan merendah diri, tenang, happy, ceria, lembut, sopan, pendiam, bercakap ketika perlu, berhati-hati dengan perhubungan dan berkemampuan mengawal perkataan yang dikeluarkan dari mulut.


2) Wanita B juga kelihatan tenang, ceria, happy tetapi kadangkala kelihatan risau dan bimbang seperti ada sesuatu yang tak kena. Ada masanya terlepas juga kata-kata yang kurang baik ketika marah. Tapi kembali normal setelah beberapa ketika. Penulis yang berjurusan senibina pernah menegur seorang studiomate wanita yang menggunakan spray dengan cara yang salah ketika menyembur model yang dibuat sehingga menyebabkan cat yang terhasil rosak. Lalu dalam keadaan marah, penulis dikatakan penyibuk walaupun niat penulis ingin menegur kesilapan yang dibuat. Penulis terus berlalu kerana tahu tetha sedang dikenakan terhadap studiomate tersebut. Selepas kejadian tersebut, keadaan kembali normal.


3) Wanita C kelihatan kelam-kabut, mempunyai stail tersendiri, kurang menjaga perkataan yang dilafazkan, overexcited, mudah melenting, agak sombong, materialistik dan sosial.


4) Lelaki A kelihatan normal, tetapi lelaki B agak stylo, mudah marah, ego yang terlampau tinggi, sukar menerima nasihat, memandang rendah atas kemampuan orang lain dan lebih agresif.



KESIMPULAN


Daripada eksperimen yang dijalankan, wanita dan lelaki yang mempunyai nilai J yang tinggi adalah mereka yang menjaga cara pemakaian dengan baik mengikut syariat Islam dan sensitif terhadap aurat.

Seperti dalam formula yang diberi: J = mc x tetha.


Oleh itu, hipotesis diterima.



MENGKAJI FIZIK MELALUI PERSPEKTIF ISLAM


Dalam usaha penyampaian Islam kepada individu yang faham tentang Islam, individu yang kurang faham tentang Islam dan individu yang tidak faham tentang Islam, pendekatan melalui ilmu duniawi berdasarkan kaedah saintifik dan empirik adalah salah satu cara yang sesuai kerana tak semua daripada mereka akan menerima jika menyampaikan melalui ilmu Tauhid.

Masalah berlaku di Malaysia di mana persepsi masyarakat berubah iaitu belajar adalah untuk bekerja, bukan belajar untuk mencari ilmu.

Adalah menghampakan situasi yang sama berlaku pada mereka yang mengambil jurusan agama dan mereka yang menghafal kalam-kalam Allah.

Jika perspektif ini berterusan, mereka tidak akan mampu untuk mengislamisasi ilmu yang dipelajari, melakukan integrasi antara ilmu duniawi dan ilmu Islam, menyampaikan ilmu pada peringkat antarabangsa agar mesej Islam sampai ke serata tempat seterusnya mencapai kecemerlangan menyeluruh.


Seperti yang tertera dalam misi UIA iaitu Triple ICE (Integrations, Islamizations, Internationalizations dan Comprehensive Excellence), adakah pelajar UIA akan mencapai misi UIA andai masih lagi belajar untuk bekerja?

Bukan untuk pelajar UIA sahaja, malah kepada pelajar institusi lain sekali.

Tidak malukah kita kepada mereka yang bukan Islam mengkaji ilmu sains melalui al-Quran lantas memeluk Islam atas kesedaran?

Di manakah perginya reputasi pelajar Islam yang cuba dipertahankan? Fikirkan.

Apakah Itu Fizik?

Sunday, May 9, 2010

APAKAH ITU FIZIK?

Fizik ialah satu cabang sains yang menkaji fenomena-fenomena alam di sekeliling kita.

Fenomena alam ialah kejadian semulajadi yang dapat diperhatikan melalui pelbagai deria manusia.

Contoh fenomena alam ialah panjang bayang-bayang berubah dari pagi hingga petang, pelangi mempunyai tujuh warna, melihat kilat terlebih dahulu sebelum guruh, gerhana matahari dan bulan dan sebagainya.

Semua ini dapat diterangkan dengan ilmu fizik.

Fizik merupakan kajian tentang struktur dan sifat benda yang amat besar seperti bintang di cakerawala dan benda yang amat seni seperti elektron dan proton dalam atom dan molekul.


Fizik juga banyak mempengaruhi kehidupan harian kita.

Sistem komunikasi yang canggih telah membolehkan kita berhubung antara satu sama lain pada bila-bila masa di mana-mana tempat.

Pelbagai jenis tenaga juga membolehkan banyak fenomena dan aktiviti kehidupan harian dilaksanakan.


Perkataan fizik berasalkan daripada perkataan Yunani "Physikos" yang bermakna alam semesta.

Segala penerokaan dan pemerhatian tentang fenomena alam semulajadi yang merupakan ciptaan Tuhan adalah termasuk dalam skop kajian fizik.

Penyelidikan tentang fenomena fenomena alam telah mendorong manusia mencipta pelbagai bahan dan alat yang baru untuk meningkatkan keselesaan kehidupan manusia.

Misalnya ciptaan komputer, telefon bimbit, televisyen telah banyak mempengaruhi kehidupan manusia.


Kehidupan harian yang berkaitan dengan fenomena fizik adalah seperti seseorang sukar berjalan di atas lantai yang licin, telefon bimbit boleh berfungsi tanpa wayar, pembesar suara boleh mengeluarkan bunyi yang kuat, manusia akan terpelanting ke hadapan apabila basikal yang ditunggangnya terlanggar halangan.


Pada asasnya, fizik merupakan kajian untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan 'mengapa' dan 'bagaimana' tentang fenomena alam dan kejadian kehidupan harian.

Kebanyakan fenomena alam dan kejadian kehidupan harian dapat diterangkan dengan konsep fizik.




BIDANG FIZIK


Fizik merangkumi pelbagai ilmu pengetahuan yang memberi jawapan tentang kejadian fenomena alam semulajadi.

Ilmu fizik yang pelbagai itu perlu diagihkan ke dalam beberapa bidang ilmu untuk memudahkan penyelidikan yang sistematik dan logik.


Untuk mendalami kefahaman tentang pelbagai fenomena alam dan aplikasinya dalam kehidupan harian, kita perlu mengelaskan fenomena secara logik ke dalam kategori-kategori yang spesifik.

Pengelasan dapat dilakukan dengan memerhatikan persamaan, perbezaan dan hubungan antara fenomena.


Bidang ilmu fizik dikelaskan kepada beberapa cabang seperti mekanik, haba, bunyi, optik, elektrik, keelektomagnetan , fizik dan sebagainya.




KONSEP FIZIK


Kini, hukum-hukum fizik telah merangkumi skop yang sangat luas dan berjaya diaplikasikan dalam pelbagai teknologi kerana fokus fizik adalah kepada asas sebenar bagaimana alam semulajadi befungsi.


Kekuatan ilmu fizik adalah disebabkan oleh hakikat bahawa hukum-hukum fizik adalah berasaskan eksperimen.

Idea intuitif dan tekaan tidak boleh menjadi hukum tanpa disemak dan ditentukan melalui eksperimen.




KEPENTINGAN FIZIK


Kemampuan fizik untuk meramalkan bagaimana alam semulajadi bertindak berasaskan kajian dan eksperimen menjadikan bidang tersebut nadi teknologi moden yang mendatangkan impak yang sangat besar kepada kehidupan manusia.


Bidang fizik berkembang dengan pesat dan kefahaman yang mendalam tentang fenomena alam membantu manusia menciptakan teknologi yang memanafaatkan manusia.


Pebagai kemajuan dalam sains dan teknologi telah dibawa oleh ilmu fizik.

Ahli-ahli sains daripada bidang-bidang lain mengaplikasikan idea-idea yang diperkembangkan dalam bidang ilmu fizik untuk menjalankan penyelidikan lanjutan dan seterusnya membina ilmu sains yang baru.




KAEDAH MENGKAJI FIZIK


Manusia sentiasa ingin tahu tentang keajaiban alam sekitar.

Manusia juga ingin tahu bagaimana sesuatu fenomena alam berlaku.

Manusia mencari jawapan dengan suatu kaedah penyiasatan yang sistematik.


Penguasaan kemahiran saintifik amat diperlukan untuk mengkaji, memahami dan mengaplikasikan konsep dan prinsip fizik.

Kemahiran saintifik terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif.


Kemahiran proses sains merupakan satu proses pemikiran yang kritis, kreatif, analisis dan sistematik. Kemahiran manipulatif pula merupakan kemahiran psikomotor dalam penyiasatan sains.


Ahli fizik membina hipotesis untuk cuba menerangkan fenomena alam.

Hipotesis yang disokong melalui eksperimen dikenali sebagai hukum atau prinsip.

Sekiranya terdapat mana-mana dapatan eksperimen, yang bercanggah dengan hukum atau prinsip, maka hukum atau prinsip berkenaan mesti diubahsuai atau ditolak sama sekali.


Sikap saintifik merangkumi aspek dan emosi dan aspek intelek.

Aspek emosi menentukan kesediaan mental untuk menjalankan aktiviti saintifik yang penuh cabaran.

Aspek intelek mempengaruhi anda membuat keputusan mengikut keutamaan.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
✿˙·٠•●♥Ƹ̵̡Ӝ̵̨̄Ʒ♥●•٠·˙✿... Assalamualaikum # Selamat Datang Ke Blog Cikgu Mawi ...✿˙·٠•●♥Ƹ̵̡Ӝ̵̨̄Ʒ♥●•٠·˙✿

Mintalah Pada Allah..

Mintalah Pada Allah..

Berusaha Dgn Kudrat Sendiri

Berusaha Dgn Kudrat Sendiri

Detik Yang Berlalu

Kalendar Hijriah

Lembaran 2010

Listen and Learn Quran

Quote of The Day

Mutiara Hati

"Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa, maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal."
- Saidina Ali r.a. -

Sabda Rasulullah saw:
"Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaan dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah cerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan hina)."
- Riwayat al-Tirmizi -

Since 14 Oct 2010..

   

Cuaca di Melaka

Maher Zain

Profile Blogger

My photo
- Graduan Universiti Malaya program Sarjana Muda Sains Pendidikan dan juga merupakan graduan dari Politeknik Ungku Omar dalam bidang Power Electrical Engineering. Pernah bertugas sebagai Planner Engineering di UMW Toyota Assembly Sdn Bhd. Mula bertugas sebagai guru di SMK Paloh Kluang Johor dan kini bertugas di SMK Tinggi Melaka bermula Januari 2009.