Kategori Tulisan

Akibat Tamak

Tuesday, October 12, 2010

Diberitakan bahawa pada suatu ketika, Nabi Musa Alaihissalam keluar untuk mengembara. Untuk mengalas perut, baginda membawa tiga ketul roti bersamanya sebagai bekalan.

Semasa dalam perjalanan, muncul seorang lelaki yang tidak diketahui. Lelaki tersebut mengekori perjalanan Nabi Musa. Nabi Musa menyedari akan perbuatan lelaki tersebut dan hanya membiarkan sahaja lelaki itu mengekori perjalanannya.

Di pertengahan perjalanan, Nabi Musa behenti sebentar untuk berehat. Lelaki yang sentiasa mengekorinya tadi turut sama berhenti rehat dan duduk bersebelahan dengan Nabi Musa. Nabi Musa kemudiannya mengeluarkan tiga ketul roti yang dibawanya tadi sebagai bekalan dan memakan hanya satu ketul sahaja daripada roti tersebut sambil diperhatikan oleh lelaki yang tidak dikenali itu.

Kerana tidak sampai hati, Nabi Musa memberikan seketul roti yang dibawanya kepada lelaki itu. Lelaki tersebut mengambil roti itu dengan senyuman sambil bertanya “yang satu ketul lagi itu untuk siapa?” Nabi Musa menjawab “roti yang ketiga ini untuk dijadikan bekalan dalam perjalanan” . Tanpa disedari oleh Nabi Musa, lelaki itu telah mencuri roti yang ketiga dan memakanya secara senyap-senyap.

Nabi Musa kemudiannya meneruskan perjalanan dan lelaki tersebut masih lagi mengekorinya. Apabila baginda berhenti semula untuk berehat dan makan, baginda terkejut kerana roti yang ketiga itu sudah hilang. Nabi Musa memandang ke arah lelaki tadi sambil bertanya: “kamu tahu tak siapa yang mencuri roti saya yang ketiga? Lelaki tersebut hanya berdiam diri dan berbuat seolah-olah tidak tahu apa-apa.

Nabi Musa kemudiannya meneruskan perjalanan dan lelaki tesebut masih lagi mengekorinya. Sesampainya baginda di sebuah tempat, baginda berjumpa dengan seekor kambing liar dan menyembelih kambing tersebut. Setelah kambing tersebut mati disembelih, dengan mu’jizat Allah SWT, Nabi Musa menghidupkan semula kambing yang telah mati itu. Nabi Musa bertanya kepada lelaki tersebut “Engkau hairan tak dengan apa yang aku buat?” Lelaki tersebut menjawab: “Ya…aku hairan”. Nabi Musa kemudiannya berkata: “Aku lagi hairan dengan orang yang curi roti tadi, engkau tahu tak siapa orang itu?” Lelaki tersebut berdiam diri dan berbuat seolah-olah dia tidak mengetahui apa-apa.

Perjalanan Nabi Musa diteruskan dan lelaki tersebut masih lagi mengikutinya. Sesampainya Nabi Musa di sebatang sungai, dengan mu’jizat Allah SWT baginda kemudiannya berjalan di atas air sungai tersebut. Lelaki tersebut dengan penuh kehairanan memerhatikan akan perbuatan Nabi Musa. Nabi Musa bertanya kepada lelaki tersebut “Engkau hairan tak dengan apa yang aku buat?” Lelaki tersebut menjawab: “Ya..ya…aku hairan”. Nabi Musa kemudiannya berkata: “Aku lagi hairan dengan orang yang curi roti tadi, engkau tahu tak siapa orang itu?” Lelaki tersebut sekali lagi berdiam diri dan berbuat seolah-olah dia tidak bersalah dan tidak mengetahui apa-apa.

Nabi Musa kemudiaanya meneruskan semula perjalanan dan lelaki tersebut masih lagi mengekorinya. Sesampainya baginda di sebuah tempat, Nabi Musa berjumpa dengan tiga ketul emas yang sangat besar dan berat. Lelaki yang mengekorinya tadi melonjak kegembiraan.

Nabi Musa kemudiannya berkata kepada lelaki tersebut: “Satu ketul emas ini untuk aku dan satu ketul untuk engkau”. “Yang lagi satu ketul ini pula untuk siapa?” dengan pantas lelaki itu bertanya kepada Nabi Musa. “Yang lagi satu ketul ini ialah intuk orang yang curi roti tadi” jawab Nabi Musa. “Sebenarnya akulah yang curi roti itu tadi…”kata lelaki itu. Nabi Musa kemudiannya berkata “engkau ambillah kesemua emas ini…aku tidak mahu satupun”. Baginda kemudiannya meneruskan perjalanan dan lelaki tersebut tidak lagi mengekorinya.

Lelaki yang ditinggalkan bersama-sama dengan tiga ketul emas tadi berasa sangat gembira. Sambil memikirkan bagaimana untuk membawa ketiga-tiga ketul emas yang besar dan berat itu pulang…hatinya berkata..selepas ini akulah yang akan menjadi orang yang paling kaya. Setelah acapkali cuba untuk mengalihkan emas-emas tersebut, namun usahanya tetap gagal kerana emas-emas tersebut terlalu berat untuk diangkatnya seorang diri. Akhirnya…setelah kepenatan, lelaki tersebut berhenti sebentar untuk berehat.

Tanpa disedari oleh lelaki itu, tiba-tiba muncul tiga orang perompak. Ketiga-tiga perompak tersebut cuba untuk merampas emas-emas tadi dan lelaki tersebut akhirnya dibunuh oleh perompak-perompak tersebut walaupun dia telah cuba sedaya upaya untuk mempertahankan emas-emasnya.

Para perompak berasa sangat gembira. Emas-emas tersebut dibahagikan secara adil. Setiap seorang mendapat satu ketul emas yang besar. Sambil berehat, salah seorang perompak berkata “kita sudah terlalu keletihan dan lapar…dalam keadaan begini….mana mungkin kita dapat mengangkat emas-emas yang besar dan berat ini…..mengapa tidak salah seorang daripada kita pergi ke pasar untuk mencari makanan…emasnya akan kami jagakan nanti…” Salah seorang daripada perompak itu bangun dan pergi ke pasar untuk mencari makanan sambil berpesan kepada kedua orang rakannya “tolong jagakan emas aku ini ye !”.

Semasa ketiaadaan salah seorang rakan perompak tersebut, kedua dua perompak yang menjaga emas itu telah bersepakat untuk membunuh rakan mereka yang ketiga sekembalinya dia dari pasar untuk membawa makanan. “Kalau kita bunuh rakan kita yang ketiga ini…kita akan menjadi lebih kaya…kita akan dapat satu setengah setiap seorang”..kata mereka.

Sekembalinya rakan mereka dari pasar dengan membawa makanan…mereka dengan pantas terus membunuh rakan mereka yang ketiga. Sebelum meneruskan semula usaha mereka untuk mengangkat emas-emas itu, mereka terlihat akan makanan yang telah dibeli oleh rakan mereka tadi. Mereka pun, tanpa berlengah terus memakan makanan tersebut. Makanan tersebut, tanpa mereka ketahui sebenarnya telah pun dibubuh racun oleh rakan mereka yang telah dibunuh tadi.

Semasa dalam perjalanan ke pasar, rakan mereka yang telah dibunuh itu sebenarnya telah pun terfikir “kalau aku bunuh dua orang itu…maka aku akan dapat tiga...mengapa tidak aku letakkan racun dalam makanan ini…” Akhirnya kesemua perompak itu mati dan tidak seorang pun berjaya untuk memiliki emas-emas tersebut.

Wallahu ‘alam.


“Dan Kepunyaan Allah jualah kerajaan langit dan bumi dan apa-apa yang ada di dalamnya; dan dia Maha Kuasa atas segala sesuatu” (Al-Maidah: 120)

Hati Sebesar Cawan Atau Sebesar Kolam

"Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..?" lelaki muda itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan.

Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.

Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua.

Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia. Lalu, dia terus berperi kepada lelaki tua tersebut.

Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu lelaki tua itu mengajaknya ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Dia mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.

"Anak muda," lelaki tua itu bersuara.

"Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam," ujarnya lagi. Dia yang dalam kebingungan hanya menurut.

Cawan diambil, air diisi dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.

"Sekarang kamu minumlah air tersebut," dalam bingung yang masih bersisa, dia mengikut kata lelaki tua itu.

" Apa rasanya?" tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahinya.

" Masin!"

Lelaki tua itu tersenyum lagi.

"Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah airnya."

Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi dia hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.

"Apa rasanya, wahai anak muda?" soal lelaki tua itu.

"Tawar, tidak masin seperti tadi," dia menjawab sambil mengelap mulut.

"Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi?" tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arahnya. Diahanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahunya.

"Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita."

"Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita."

"Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri."

Maka, pada petang itu dia pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada.


sumber: http://www.iluvislam.com/

11 Nasihat Sayyidina Ali K.W.

Sayyidina Ali k.w berkata :

1. Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'.

2. Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.

3. Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya.

4. Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara' (memelihara diri dan hati-hati dari dosa).

5. Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.

6. Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.

7. Do'a yang paling sempurna ialah do'a yang dilandasi keikhlasan.

8. Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya.

9. Siapa yang banyak salahnya,maka hilanglah harga dirinya.

10. Siapa yang hilang harga dirinya, berarti dia tidak wara'.

11. Sedang orang yang tidak wara' itu berarti hatinya mati.


Sahabat yang dimuliakan,

Sayyidaina Ali k.w adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang memiliki cukup tinggi ilmunya. Kata-katanya merupakan mutiara hikmat yang amat berguna untuk kita ambil sebagai pengajaran.

Nabi s.a.w.bersabda maksudnya : “Aku adalah gedung ilmu dan Ali adalah pintunya”.

Terdapat 11 nasihat Sayyidna Ali k.w.

1. Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'.

Imam Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah s.w.t., ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap.


2. Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji." (Hr Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi - sahih)


3. Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya.

Wasiat Nabi s.a.w. kepada Sayyidina Ali k.w. : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang membaca Al-Quran, dan tidak menghalalkan yang halal serta tidak mengharamkan yang haram, maka ia termasuk orang-orang yang membuang kitab Allah (Al-Quran) di belakang punggungnya (meninggalkan Al-Quran)."


4. Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara' (memelihara diri dan hati-hati dari dosa).

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, " Seorang hamba tidak dapat mencapai tingkat muttaqin hingga ia meninggalkan apa-apa yang tidak berdosa kerana khuatir terjerumus pada apa-apa yang berdosa."(Hadis Riwayat Tarmidzi)

Berdasarkah hadis di atas adalah merupakan ungkapan dan gambaran sikap wara'. Sikap wara' adalah sikap berhati-hati dalam menghindari larangan Allah s.w.t. Sikap ini amat jelas terdapat pada diri Rasulullah s.a.w dan juga para sahabat baginda. Sikap wara' pada masa itu telah menjadi suatu amalan yang di hayati oleh generasi awal. Sehingga kurun tersebut dianggap sebagai kurun terbaik dalam sejarah umat Islam.


5. Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.

Orang yang beriman adalah insan yang bersih hati dan jiwanya daripada bersangka buruk kepada saudaranya yang lain. Dia juga tidak akan menyakiti Muslim lain dengan lidah dan tangannya. Dari hati dan jiwa yang bersih ini akan melahirkan kasih sayang semata-mata kerana Allah s.w.t.

Daripada Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah ditanya, siapakah yang paling mulia diantara manusia?. Nabi s.a.w. menjawab yang bermaksud : "Setiap orang yang hatinya 'makhmum' dan lidahnya jujur."

Sahabat r.a bertanya, "Kami tahu seorang yang lidahnya jujur, tetapi apa yang di maksudkan dengan hati 'makhmum'? Baginda menjawab, "Makhmum' ialah orang Muttaqin (menjauhkan diri dari keburukan kerana takut kepada Allah) dan bersih hatinya, bebas dari segala dosa dan kesalahan, tidak mempunyai sedikitpun perasaan dengki atau irihati padanya."


6. Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.

Nikmat yang kekal yang paling baik adalah nikmat mendapat pahala dan redha Allah s.w.t. Balasannya bukan di dunia tetapi balasannya adalah di hari akhirat iaitu dengan balasan Syurga.

Rasulullah shallallaahu alaihi wa sallam bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Syurga terdiri atas seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang-orang yang berjihad di jalan-Nya”.

Tingkatan Syurga yang paling tinggi ialah Firdaus. Nabi memerintahkan ummatnya untuk berdo'a memohon Firdaus melalui sabdanya yang bermaksud : “Jika kalian meminta pada Allah mintalah kepadaNya Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus adalah Syurga yang paling utama, dan merupakan tingkatan tertinggi dari Syurga, diatasnya terdapat ‘Arsy Ar Rahman dan dari Firdaus itulah memancar sungai-sungai Syurga”.


7. Do'a yang paling sempurna ialah do'a yang dilandasi keikhlasan.

Firman Allah, “Apabila hamba-hambaku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdo'a apabila dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak.” (Al-Baqarah: 186)

Keikhlasan merupakan poros semua amalan dan ibadah, termasuk dalam berdo'a. Do'a orang yang ikhlas, akan lebih didengar dan diperhatikan oleh Allah. Allah Subhanahu wa ta’alla berfirman,

ادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

“ Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya.” (Surah Ghafir ayat14).


8. Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya.

Hadis riwayat Mughirah bin Syu`bah Radhiyallahu’anhu:Dari Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam., baginda bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah Taala mengharamkan atas kamu sekalian; mendurhakai ibu, mengubur anak-anak perempuan dalam keadaan hidup, (prilaku) menahan dan meminta. Dan Allah juga tidak menyukai tiga perkara yaitu; banyak bicara, banyak bertanya serta menyia-nyiakan harta. (Shahih Muslim)

Banyak berbicara jika tidak berhati-hati dikhuatiri akan berlaku mengumpat atau memfitnah orang lain. Nabi s.a.w ada menyatakan yang banyak memasukkan seseorang ke dalam Neraka adalah disebabkan lidah dan kemaluan manusia.


9. Siapa yang banyak salahnya,maka hilanglah harga dirinya.

Orang yang banyak melakukan kesalahan dan maksiat maka akan mendapat dosa. Dosa-dosa ini sebenarnya boleh menghilangkan harga diri seseorang. Di dunia ia dipandang hina oleh manusia dan dihari akhirat Allah s.w.t akan menghinanya pula.

Abdullah bin Mubarak berkata:“Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa.”


10. Siapa yang hilang harga dirinya, berarti dia tidak wara'.

Jiwa seorang Mukmin sentiasa berhat-hati di dalam kehidupan di dunia ini, sentiasa peka dan sensitif kalau-kalau ada perbuatan, percakapan dan niat dihatinya yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah. Dia bukankan saja meninggalkan yang haram tetapi dia juga meninggalkan perkara-perkara yang makruh , syubhah dan boleh mendatangkan fitnah. Orang yang telah hilang harga dirinya sebenarnya ia tidak bersifat wara'.


11. Sedang orang yang tidak wara' itu berarti hatinya mati.

Orang yang tidak wara' sebenarnya hatinya telah mati, dan orang yang wara' hatinya hidup dan merasa sensitif dengan kebaikan atau kejahatan.

Kepekaan hati untuk mengenal perkara yang hak dan batil di sebut sebagai 'furqan' (pembeza). Jiwa yang memiliki 'furqan' akan segera mengesan dan membezakan antara yang hak dan yang batil. Hanya seseorang yang mempunyai sifat wara' akan dapat merasakan perasaan seperti ini dan hatinya terasah dengan baik akan mempunyai perasaan yang kuat. Hatinya akan menjadi sensitif terhadap kebatilan dan amat peka dengan kebenaran.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Al-Birr (kebaikan) itu adalah akhlak yang baik manakala dosa itu segala sesuatu yang terasa tidak tenang dalan hati serta dikhuatiri diketahui oleh orang lain." (Hadis Riwayat Muslim).


Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar dan pengajaran daripada sebelah perkara nasihat Sayyidan Ali k.w. Semoga dengan panduan dan pengajaran tadi dapat membimbing kita kejalan yang hak dan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
✿˙·٠•●♥Ƹ̵̡Ӝ̵̨̄Ʒ♥●•٠·˙✿... Assalamualaikum # Selamat Datang Ke Blog Cikgu Mawi ...✿˙·٠•●♥Ƹ̵̡Ӝ̵̨̄Ʒ♥●•٠·˙✿

Mintalah Pada Allah..

Mintalah Pada Allah..

Berusaha Dgn Kudrat Sendiri

Berusaha Dgn Kudrat Sendiri

Detik Yang Berlalu

Kalendar Hijriah

Lembaran 2010

Listen and Learn Quran

Quote of The Day

Mutiara Hati

"Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa, maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal."
- Saidina Ali r.a. -

Sabda Rasulullah saw:
"Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaan dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah cerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan hina)."
- Riwayat al-Tirmizi -

Since 14 Oct 2010..

   

Cuaca di Melaka

Maher Zain

Profile Blogger

My photo
- Graduan Universiti Malaya program Sarjana Muda Sains Pendidikan dan juga merupakan graduan dari Politeknik Ungku Omar dalam bidang Power Electrical Engineering. Pernah bertugas sebagai Planner Engineering di UMW Toyota Assembly Sdn Bhd. Mula bertugas sebagai guru di SMK Paloh Kluang Johor dan kini bertugas di SMK Tinggi Melaka bermula Januari 2009.